Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


TERPILIH menjadi sebahagian daripada warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta tinggal di asrama kampus induk menjadi peluang keemasan dan detik indah penuntut baharu Universiti Awam (UA) itu.

Mereka yang terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Asasi Sains serta Matrikulasi mendaftarkan diri di kampus UiTM Shah Alam, hari ini.

Bagi Nur Farhah Hany Fakarudin, 19, yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Bio Molekul, dia amat menghargai peluang diberikan, malah berbangga menjadi penuntut UiTM.

“Bila dapat tawaran itu, memang saya teruja kerana memang mahu belajar di Kampus Shah Alam berikutan banyak kemudahan di dalam dan luar kampus ini.

“Sistem pengangkutan serta fasiliti ditawarkan lebih baik berbanding tempat lain, begitu juga yuran pengajian tidak membebankan.

“Perancangan saya mahu menyertai aktiviti diminati di kolej dan aktif dengan pelbagai aktiviti disediakan UiTM kepada pelajar sebab senang nak berulang-alik pergi kelas jika tinggal di dalam kampus,” katanya yang ditemani ibu dan kakaknya.

Nur Farhah Hany teruja apabila mendapat tawaran mengikuti kursus pengajian diminatinya.

“Kursus pengajian saya ini salah satu cabang di bawah Biologi tetapi lebih terperinci. Boleh kerja di makmal hospital, syarikat berkaitan perubatan dan penyelidikan,” katanya.

Sementara itu, Nu Hanisah Khalid, 19, gembira kerana berpeluang melanjutkan pelajaran di kampus induk UiTM itu.

“Saya sudah biasa berjauhan dengan ibu ayah kerana sebelum ini pernah tinggal di asrama, tetapi kali ini lebih seronok berikutan pengalaman baharu.

“Saya akan mengikuti pengajian Ukur Bahan selama tiga tahun setengah di sini dan Insya-Allah akan cuba kekalkan kecemerlangan seperti di matrikulasi dahulu yang memperoleh Anugerah Dekan setiap semester,” katanya.

Sehingga 3 petang hari ini, jumlah penuntut baharu yang mendaftarkan adalah 2,963 daripada jumlah keseluruhan 3,183.

Pendaftaran pelajar baharu itu adalah bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda sesi September 2019 - Januari 2020.

Pelajar siswa perlu mendaftarkan diri di Kolej Perindu manakala pelajar siswi pula di Kolej Mawar dalam kampus berkenaan.

Tinjauan mendapati kesesakan jalan raya berlaku sepanjang Persiaran Kayangan kira-kira dua kilometer dari Pintu Dua UiTM sejak 11 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 7:45 PM
PENUNTUT baharu ditemani ahli keluar ketika mendaftar sebagai di Kolej Mawar UiTM, Shah Alam, hari ini. FOTO Sairien Nafis