Idris Musa
idris@hmetro.com.my


MENYEDARI kes denggi meningkat tinggi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengajak masyarakat untuk bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran.

Beliau berkata, ahli masyarakat di sesuatu tempat mesti bersama-sama dalam menggerakkan usaha gotong-royong dan memberikan kerjasama menjaga kebersihan tempat berkenaan.

“Kita mestilah bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran supaya kita menjaga kesihatan bersama. Kita mahu sama-sama kita mendidik, bukan saja diri kita, tetapi anak kita.

“Sejahtera bermula daripada sikap kita sendiri. Tanggungjawab kita untuk mengekalkan kebersihan bersama. Ahli masyarakat sesuatu tempat beri kerjasama untuk menjaga kebersihan tempat berkenaan.

“Ambillah sikap bersama menjaga persekitaran dan jangan tunggu sesuatu musibah menimpa pada ahli keluarga untuk kita mengambil tindakan. Kita ambil satu sikap bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong-Royong Cegah Denggi di kawasan Pangsapuri 610, Pandan Indah, Ampang Jaya, hari ini.

Pada program itu, beliau sendiri turut bersama-sama penduduk mengutip sampah membersihkan persekitaran di kawasan pangsapuri berkenaan.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, terdapat 85,270 kes denggi dilaporkan dari Januari hingga 17 Ogos tahun ini.

Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 38,726 kes iaitu 83.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kebiasaan puncanya daripada sikap kita sendiri. Cuba lihat persekitaran di sekeliling kita, berapa ramaikah antara kita yang prihatin menjaga kebersihan persekitaran.

“Tidak perlu terlalu jauh, cuba perhatikan kediaman kita sendiri.

Pasti ada yang terlepas pandang. Sebagai contoh air yang bertakung seperti pada bekas tidak digunakan, bekas tong, kolah dan pasu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 7:36 PM
DR Wan Azizah menghadiri majlis gotong-royong cegah denggi di Pandan Indah. FOTO Mohd Yusni Ariffin