Rakaman CCTV menunjukkan dua pencuri melarikan tabung masjid dengan menunggang motosikal. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


DUA pencuri berputih mata apabila tabung yang dicuri dari Masjid Al Huda Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh kosong.

Berikutan itu, pencuri berkenaan meninggalkan tabung terbabit di jejantas berhampiran sebuah sekolah rendah di Sungai Pelong sekali gus membongkar kegiatan mereka menceroboh masjid itu kelmarin.

Bendahari masjid itu, Jamaliah Othman berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam berhubung kejadian itu selepas menemui tabung berkenaan yang ditinggalkan di atas jejantas terbabit.

“Pada mulanya kami tidak menyedari tabung yang digunakan untuk mengumpul sumbangan bagi mendapatkan van jenazah itu hilang.

“Sebaik dimaklumkan perkara itu, kami menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati tabung itu dilarikan dua individu menaiki motosikal 5 pagi kelmarin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jamaliah berkata, berdasarkan rakaman CCTV itu, kedua-dua pencuri berkenaan dilihat mengambil tabung itu yang diletakkan di dalam masjid sebelum melarikannya dengan menaiki motosikal.

“Wang sumbangan dalam tabung itu dikeluarkan sehari sebelum kejadian kerana wang itu dikumpul pada Khamis setiap minggu.

“Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid membuat dua laporan masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan Balai Polis Sungai Pelong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, semakan rakaman CCTV mendapati dua individu dilihat memasuki masjid berkenaan melalui pintu hadapan yang dibuka untuk persiapan solat Subuh.

“Hasil maklumat diterima, kami menahan remaja lelaki berusia 14 tahun dan wanita berusia 23 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini 6.30 pagi tadi.

“Semakan mendapati remaja lelaki itu gelandangan selepas ditinggalkan ibu bapa dan tiada rekod jenayah manakala wanita terbabit memiliki lima rekod jenayah termasuk kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, remaja lelaki itu akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua suspek direman dua hari bermula hari ini hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 7:09 PM