KEADAAN mangsa yang cedera selepas disamun dua lelaki bermotosikal. FOTO IHSAN PEMBACA
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera di belakang dan tangan selepas disamun dua lelaki bermotosikal ketika sedang berkawal di hadapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Kerteh, Kemaman, kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi, mangsa wanita berusia 40 tahun kerugian wang tunai lebih RM400 dan telefon pintar apabila dilarikan penjenayah.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bertugas bersendirian mengawal pintu masuk JPN Kerteh selepas rakan setugasnya keluar membeli makanan.

Katanya, wanita terbabit didatangi dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal Yamaha Sport warna biru yang berhenti berdekatan mangsa.

“Secara tiba-tiba, salah seorang suspek meminta wang daripada mangsa tetapi anggota terbabit memaklumkan tidak mempunyai wang.

Namun, lelaki terbabit menarik mangsa dan mengambil wang RM200 daripada poket seluar wanita berkenaan sebelum meluru ke arah motosikal ditunggang rakannya untuk melarikan diri.

“Tersentak dengan itu, mangsa segera mengeluarkan telefon bagi menghubungi suami untuk mendapatkan bantuan dengan kadar segera.

Namun, suspek datang semula ke arahnya dan merampas telefon itu menyebabkan berlaku pergelutan.

“Suspek bertindak memukul wanita terbabit menggunakan kayu sehingga mangsa rebah lalu melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera di belakang dan tangan dibantu orang awam yang berada berdekatan lokasi dan mereka menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan dilaporkan stabil tetapi masih ditahan di wad.

“Polis berjaya menahan salah seorang suspek hari ini dan berusaha mengesan rakannya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramli ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

“Susulan itu, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 30 tahun di tepi jalan Air Jerneh, Kemasik jam 10 pagi, hari ini.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan saringan ujian air kencing turut mendapati positif Methamphetamine.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok untuk siasatan lanjut mengikut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 4:44 PM