Dr Maszlee (kiri) melihat aktiviti dalam Program Transformasi Minda Anak Muda di SMK LKTP Belitong hari ini. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


TINDAKAN secara produktif dan komprehensif akan dilakukan Kementerian Pendidikan bagi mengatasi pelbagai masalah dihadapi Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, terdapat 50,257 unit KIP di seluruh negara dengan 16,364 (32.56 peratus) daripadanya tidak digunakan manakala selebihnya (33,893 unit) diduduki sementara.

Katanya, daripada 16,364 unit yang kosong itu, 6,302 unit daripadanya dalam keadaan baik serta boleh diduduki pada bila-bila masa manakala 10,062 unit lagi rosak serta tidak boleh digunakan.

“Antara langkah dilakukan adalah menyewakan unit KIP ini kepada mereka yang berminat selain mengubah suai penggunaan mengikut keperluan semasa melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, FELDA, agensi kerajaan, swasta dan kolej.

“Tahun ini, KPM memberi keutamaan penyelenggaraan kuarters yang berpenghuni namun pada masa sama turut melakukan baik pulih kuarters kosong yang mempunyai permohonan dan sehingga 31 Mei lalu RM56 juta sudah dikeluarkan,” katanya.

Dr Maszlee berkata demikian selepas merasmikan Program Transformasi Minda Anak Muda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Belitong, Kluang hari ini.

Menurutnya, keutamaan permohonan ke atas KIP ini adalah mengikut skop yang disyorkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) namun pada masa sama masih tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa.

“Saya sendiri akan memastikan isu kelengkapan prasarana ini diselesaikan segera secara menyeluruh malah semua isu berkaitan dengan KIP akan diselesaikan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut rancangan Bekalan Air Berjadual (BAB) oleh Ranhill SAJ di kawasan Parlimen Simpang Renggam kerana air Sungai Benut kering akibat cuaca panas berpanjangan bermula 2 September ini, Dr Maszlee percaya kerajaan negeri dan Ranhill SAJ sudah melakukan perancangan untuk mengatasinya.

“Namun pada masa sama mengharapkan hujan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan sungai berkenaan membekalkan air kepada Loji Rawatan Air (LRA) di Simpang Renggam.

“Jika perlu pembenihan awan, ia hendaklah dilaksanakan segera kerana kekurangan air pada loji seperti ini menjejaskan aktiviti harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 3:56 PM