YONG keluar dari mahkamah selepas pendakwaan terhadapnya atas tuduhan merogol pembantu rumahnya di Mahkamah Sesyen Ipoh, Jumaat lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

PAUL Yong Choo Kiong berkata beliau mengambil keputusan untuk bercuti daripada tugasnya sebagai Anggota Exco Kerajaan Perak untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan kes rogol yang dihadapinya.

Yong, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menimbangkan dengan teliti untuk membersihkan namanya daripada pertuduhan itu.

Buat sementara waktu, Yong berkata, beliau akan terus berkhidmat kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri Tronoh yang diwakilinya seperti yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya turut merasakan bahawa saya perlu mengutamakan kepentingan negeri ini mengatasi kepentingan peribadi, seperti yang saya sentiasa lakukan dalam kerjaya saya sebagai ahli politik dan saya akan maklumkan keputusan saya ini kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini,” kata Yong menerusi satu kenyataan.

Menurut Yong, beliau mengarahkan peguamnya supaya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan seawal yang boleh.

Jumaat lalu, Yong, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol bekas pembantu rumahnya berusia 23 tahun pada 7 Julai di rumahnya di Meru, di sini.

Berita berkaitan:

  • Kenapa pula saya perlu cuti?
  • Paul Yong mengaku tak bersalah [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 2:15 PM