NURAINI (kanan) bersama Mohd Nadiy dan Nur Afrina (kiri) dengan gaya tersendiri sempena Kejohanan Muay Thai Amatur Dan Profesional Negeri Melaka 2019. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar
am@hmetro.com.my


“SAYA mahu dedahkan anak saya dalam sukan Muay Thai sebagai seni mempertahankan diri,” demikian kata Nurhidayah Abu Bakar, ibu kepada peninju cilik yang memenangi Kejohanan Muay Thai Amatur Dan Profesional Negeri Melaka 2019, Nuraini Najwa Mohd Ghazali.

Nuraini, 8, memenangi kejohanan amatur bagi kategori bawah lapan tahun di Dewan Bestari, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam tadi.

Gaya dan kelincahannya jelas memukau dengan teknik dan pergerakannya persis atlet hebat Thailand yang beraksi di pentas antarabangsa.

Nurhidayah berkata, anak perempuannya itu baru sahaja aktif menjalani latihan sukan berkenaan beberapa bulan lalu dan tidak menyangka sangat berpotensi.

“Saya tidak menyangka Najwa (Nuraini) boleh berjaya memenangi pertandingan walaupun pertama kali menyertainya pertandingan di negeri ini.

“Bagaimanapun, terpulang kepada dirinya untuk terus aktif atau sebaliknya apabila dewasa nanti. Apa yang penting dia tahu menjaga maruah diri, ” katanya yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.

Katanya, anak kedua daripada tiga beradik antara lebih 50 remaja menjalani latihan di Rembau anjuran Kelab Muay Thai Hard Fighters Rembau-Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Saya merasakan seni mempertahankan diri penting sebagai benteng perlindungan buat anak saya daripada gangguan persekitaran mana-mana pihak yang sering mengambil kesempatan terutama atas kelemahan wanita,” katanya.

Seorang lagi peninju cilik yang juga rakan kelab Nuraini, Mohd Nadiy Al Amin, 9, dari Kuala Pilah mengakui mahu mewakili negara dalam sukan itu pada masa depan.

Katanya, latihan di Melang, Kuala Pilah sentiasa menjadi azimat terbaik buatnya untuk mengasah kemahiran.

Sementara itu, jurulatih kelab, Abd Sirfaat Abd Karim berkata, kelab terbabit yang ditubuhkan dua tahun lalu bergerak aktif dalam pelbagai pertandingan.

“Penyertaan membabitkan 52 peninju malam tadi bersaing bagi merebut tali pinggang Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator Datuk Marzuki Yahya,” katanya.

Katanya, kejohanan itu diadakan membabitkan kerjasama Persatuan Muay Thai Negeri Melaka (PMNM) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 2:15 PM