WANITA maut manakala anak perempuannya parah selepas motosikal ditunggang bertembung lori di Jalan Jelapang-Chemor berhampiran Taman Chepor Indah semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


WANITA maut manakala anak perempuannya parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Jelapang-Chemor berhampiran Taman Chepor Indah, Ipoh, semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari, Noorlia Hashim, 49, yang menunggang motosikal Honda Wave meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya berusia 30 tahun parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lori dari arah Chemor memasuki simpang kanan jalan sebelum dipercayai merempuh motosikal mangsa dari arah bertentangan.

“Lori sedang membelok sebelum bertembung motosikal mangsa.

“Akibat kemalangan, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala anak perempuannya menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.

Mohd Nordin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan pemandu lori berusia 35 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan turut tular di media sosial dan kebanyakan warganet mendakwa lokasi itu kerap berlaku kemalangan maut akibat ketiadaan lampu isyarat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 1:01 PM