HUJAN lebat menyebabkan anggota ATM dan APM mencari tempat berteduh. FOTO IHSAN JPBN
Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my


HUJAN yang sedang melanda lokasi kebakaran hutan di Kuala Baram diharapkan membantu memulihkan kualiti udara di Miri.

Ini kerana kualiti udara di bandar raya itu, hari ini, kembali mencapai tahap boleh menjejaskan kesihatan penduduk selepas menunjukkan penurunan, semalam.

Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar jam 11 pagi ini menunjukkan stesen di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri mencatat paras berbahaya iaitu 364 manakala stesen SK Baram 2 pula mencatat paras tidak sihat iaitu 197.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan berkata, operasi pemadaman ditangguhkan sementara pagi ini berikutan hujan di kawasan berkenaan.

“Kita mengharapkan keadaan ini membantu menurunkan bacaan IPU di kawasan utara Sarawak khususnya di Miri.

“Semua petugas terbabit dalam operasi diarah keluar dari kawasan kebakaran dan berteduh di bangunan berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman kebakaran hutan di Kuala Baram yang memasuki hari ke-25 membabitkan 66 petugas.

Mereka terdiri daripada 16 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (13), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (12) dan dibantu 25 pekerja syarikat Naim Bhd.

Sebelum ini, operasi berkenaan turut mendapat bantuan pesawat Bombardier CL-415, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Bagaimanapun, pesawat itu sudah kembali ke Semenanjung, kelmarin, untuk diselenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 12:40 PM