AKMAT (berdiri, dua kiri) bersama sebahagian peserta pertandingan layang-layang di Padang SK Lupak, Kampung Lupak, Beaufort. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


MAHU mewujudkan bengkel di setiap daerah menunjukkan pembuatan dan cara memainkan layang-layang supaya sukan tradisi layang-layang atau wau kikik tidak hilang ditelan zaman.

Itu hasrat Akmat Abooki, 57, yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam sukan layang-layang di Sabah selain turut menjadi johan dalam pertandingan layang-layang yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Lupak, Kampung Lupak, Beaufort, semalam.

Menurut Akmat, sukan tradisi itu dilihat semakin kurang mendapat perhatian apabila generasi muda masa kini lebih selesa dengan permainan video atau gajet sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang.

Sedangkan, layang-layang kikik adalah sukan tradisi yang harus dikekalkan dan sekiranya dimain secara berkumpulan ia lebih menyeronokkan malah dapat mengekang budaya anti sosial yang dilihat semakin ketara terutamanya bagi golongan muda.

“Kita mahu anak muda masa kini mendapat pendedahan terutamanya kanak-kanak sekolah supaya mereka tahu dan mengenali sukan tradisi ini dan kita tidak mahu wau kikik ‘mati’ di Sabah.

“Itu harapan saya dan kalau boleh, kami sebagai pelayang di Sabah mahu mewujudkan bengkel di setiap daerah mengenai pembuatan dan cara bermain layang-layang ini,” katanya ketika ditemui selepas menyertai pertandingan itu, semalam.

Mengulas lanjut berhubung pertandingan itu, Akmat berkata, dia mengambil masa sekurang-kurannya selama seminggu untuk menyiapkan wau yang dibawanya untuk bertanding.

“Saya ambil masa selama seminggu untuk menghasilkan wau daun ini dan menggunakan segala kepakaran termasuk dari segi mereka corak sendiri dan meraut buluh supaya layang-layang tidak berat serta boleh terbang ketika dilayangkan.

“Layang-layang saya ini mampu mencapai ketinggian sehingga 40 meter di udara dan berjaya mengalahkan lebih 30 peserta lain dalam pertandingan ini,” katanya.

Terdahulu, pertandingan yang dianjurkan Kelab Layang-Layang Beaufort itu, berlangsung bermula 8 pagi dan mengumpulkan 36 peserta daripada pelbagai peringkat usia.

Pertandingan ini adalah satu pengisian sambutan ambang kemerdekaan yang akan disambut pada hujung bulan ini di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 12:22 PM