PASUKAN Polis Marin melakukan pemeriksaan ketika Ops Gelora Khas. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


ENAM lelaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora Khas yang dijalankan selama dua hari di beberapa lokasi sekitar Labuan.

Operasi yang bermula Jumaat lalu dan berakhir semalam, berjaya menahan enam lelaki berusia antara 22 hingga 38 tahun yang didapati positif dadah dan memiliki syabu ketika pemeriksaan dibuat.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi itu dilaksanakan bersama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

“Seramai 44 individu termasuk juragan, kru bot penumpang dan bot nelayan diperiksa dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima daripadanya didapati positif dadah dan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun didapati memiliki syabu yang dianggarkan seberat 0.12 gram,” katanya dalam kenyataan media di Labuan, semalam.

Katanya lagi, mereka ditahan mengikut kesalahan masing-masing iaitu Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(3) akta yang sama.

Dalam operasi sama, Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut menahan lelaki berusia 51 tahun selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, Mohamad Pajeri berkata, operasi itu menumpukan pengguna pengangkutan laut terutamanya juragan, kru bot penumpang, bot nelayan dan teksi air yang beroperasi di sekitar perairan Labuan.

“PPM sentiasa menggerakkan aset dan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan untuk melaksanakan rondaan serta operasi pesisir pantai bagi memastikan segala aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras.

“Selain itu operasi ini bagi memastikan keselamatan pengguna laut serta perairan negara terjamin. Justeru, kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan dalam menyampaikan maklumat kepada PPM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 11:27 AM