NUR Farah (kiri) dan Nurul Wahida selepas Majlis Anugerah Akeemik 2018 KPTM. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi

MAHU membalas jasa kedua ibu bapanya, anak kepada penternak burung puyuh membuktikan dia mampu menjadi pelajar cemerlang selepas menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Program.

Nurul Wahida Mohamad Azlan, 24, penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2012 dia hanya memperoleh keputusan 1A berbanding rakan lain yang lebih cemerlang.

Dia yang juga penerima Anugerah Pelajar Terbaik Program berkata, selepas tamat SPM, dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu bagi membantu ayahnya, Mohamad Azlan Daud, 55, menguruskan perusahaan puyuh.

“Bidang penternakan puyuh bukan sahaja bertumpu kepada ternakan sahaja, sebaliknya ia boleh dikembangkan kepada perniagaan daging dan telur puyuh.

“Dalam masa sama, saya juga akan mendalami ilmu pemasaran terutamanya melalui perniagaan dalam talian yang mampu melonjakkan keuntungan dalam perniagaan puyuh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2018 KPTM yang dirasmikan Timbalan Presiden Akademik KPTM, Abdul Azmi Abdul Aziz, di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam majlis itu, 35 penuntut menerima Anugerah Pelajar Harapan, Pelajar Terbaik Program dan Pelajar Terbaik Keseluruhan yang disampaikan oleh Pengarah KPTM Kota Bharu, Dr Syamsul Fozy Osman.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, tumpuan yang diberikan dalam kelas selain sering membantu rakan menjadi antara resepi kejayaannya yang memperoleh dekan setiap semester.

“Untuk berjaya kita perlu sentiasa berfikiran positif dan jangan sesekali sombong dengan ilmu yang ada,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.9.

Manakala seorang lagi penerima, penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan, Nur Farah Lydia Omar, 20, bukan sahaja memperoleh Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Program, malah turut mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Program serta Anugerah Pelajar Harapan.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia menjadikan anugerah yang diperolehi itu sebagai batu loncatan untuknya terus cemerlang dalam bidang akademik.

“Alhamdulillah, segala penat lelah dan usaha keras selama ini sudah terbalas dan jika ada rezeki saya akan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perbankan selepas menamatkan diploma pada tahun hadapan.

“Saya dedikasikan anugerah dan kejayaan ini kepada keluarga, pensyarah dan rakan yang banyak memberikan dorongan,” katanya yang memperoleh CGPA 3.91.

Sementara itu, Abdul Azmi berkata, majlis yang diadakan itu adalah untuk memberi penghargaan kepada penuntut KPTM atas usaha keras mereka dalam mencapai keputusan yang cemerlang.

“Saya berharap kejayaan penuntut yang memperoleh anugerah ini dapat menjadi pemangkin kejayaan kepada penuntut lain pada masa hadapan.

“Dalam masa sama, pihak KPTM juga turut meningatkan rangkaian kerjasama dengan industri ke arah melahirkan graduan yang dapat memenuhi keperluan industri selain menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 11:15 AM