GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


PESARA POS Malaysia di Temerloh terpaksa menanggung kerugian RM67,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Kejadian bermula 19 Ogos lalu apabila wanita berusia 69 tahun itu menerima panggilan melalui telefon rumahnya daripada individu yang memperkenalkan diri kononnya sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mahu memotong satu daripada nombor yang didaftarkan di bawah namanya namun mangsa menafikan nombor berkenaan adalah miliknya.

“Panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lumpur sebelum mangsa bercakap dengan Inspektor Yong kononnya untuk membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media di Temerloh, semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian berhubung dengan Inspektor Yong melalui telefon bimbit sebelum suspek menghantar gambar surat perintah Mahkamah Kuala Lumpur.

“Inspektor Yong menyuruh mangsa memasukkan duit untuk dihantar kepada Bank Negara kononnya untuk disemak sama ada akaun mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram atau perjudian.

“Mangsa juga bercakap dengan dua lagi suspek yang menyamar sebagai Koperal Mazlan dan Inspektor Moktar. Mereka memberikan tekanan dan menakutkan-nakutkan mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek juga mendakwa akan memenjarakan mangsa beberapa tahun sekiranya warga emas itu tidak mendengar arahan yang diberikan.

“Mereka juga berjanji akan akan memulangkan semula wang mangsa sementara wang itu disiasat oleh pihak polis dalam masa satu minggu.

“Mangsa yang takut kemudian membuat beberapa kali pindahan wang ke dalam dua akaun berlainan menjadikan keseluruhan wang yang dimasukkan adalah RM67,000,” katanya.

Katanya, semalam, mangsa bertanyakan kepada anaknya berkenaan perkara itu, namun anaknya itu terus membawa ibunya ke IPD Temerloh untuk membuat laporan polis selepas disyaki ditipu.

“Polis sedang mengesan pemilik nombor akaun digunakan suspek dan siasatan dijalankan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 9:00 AM