BERNAMA

TIADA keperluan menggubal akta baharu berkaitan pensijilan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, ini kerana terdapat akta sedia ada bagi mengawal penggunaan label pensijilan logo halal ke atas pembekalan produk, sama ada makanan atau perubatan kepada pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Sesiapa yang didapati bersalah dengan menggunakan tulisan jawi atau halal pada produk (tanpa pensijilan yang sah) boleh didakwa jadi tidak perlu ada satu akta baharu kerana isu halal sudah ada yang pelihara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Ramah di Masjid Ubudiah, Taman Seri Tenggara, Parit Buntar, hari ini.

Dr Mujahid berkata beliau difahamkan isu itu timbul berikutan kebimbangan pengguna tertipu dengan penyalahgunaan logo halal dan tulisan jawi pada produk.

“Yang dimaksudkan itu tertumpu kepada logo halal yang ditulis dalam tulisan jawi dan kata produk halal. Pengguna jangan tertipu, sebab sijil halal itu ada pensijilannya.

“Tidak timbul isu kerana setiap pensijilan halal akan dilabel selepas syarikat berkenaan berdaftar dan audit dilakukan untuk memastikan ia sah,” katanya.

Mujahid berkata, orang ramai boleh membuat semakan melalui talian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memeriksa status halal sesebuah produk kerana tiada pihak yang boleh meletakkan logo halal selain menerusi sistem berkenaan.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilaporkan mencadangkan kepada JAKIM supaya mengeluarkan sijil halal dalam tulisan mengikut bangsa pemilik produk.

Dalam perkembangan lain, Dr Mujahid berkata, pihaknya menerima puluhan ribu aduan dalam talian khas yang diwujudkan bagi memudahkan orang ramai menyampaikan aduan berhubung penghinaan agama di negara ini.

Katanya, aduan yang terdiri daripada kes penghinaan pelbagai agama terutama di laman media sosial dihantar kepada pihak berkuasa terbabit iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Dalam majlis berasingan, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kerajaan melaksanakan pendekatan Rakan Masjid Hospital atau dikenali sebagai Ramah untuk memenuhi matlamat tanggungjawab sosial korporat (CSR) di samping menjalinkan peranan masjid dan hospital.

Katanya melalui usaha itu, individu terdiri daripada pelbagai latar belakang akan dilantik sebagai sukarelawan Ramah untuk melaksanakan segala aktiviti dan pengisian yang dirangka pihak masjid dengan kerjasama hospital selari dengan Standard Prosedur Operasi yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Mereka secara konsisten akan dilatih dan didedahkan dengan kemahiran untuk menyantuni pesakit di samping membantu mereka dalam hal-hal ibadah, ” katanya ketika berucap pada Program Ramah peringkat Perak di Dewan Mutiara Hospital Parit Buntar hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:08 PM