Ujian saringan awal air kencing. Foto Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


KESEMUA 114 pegawai dan anggota polis di Terengganu yang dicurigai terbabit dengan penyalahgunaan dadah disahkan bebas bahan terlarang itu hasil ujian saringan awal air kencing mereka negatif.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Superintendan Roslan Tahir berkata, ujian itu dibuat menerusi Op Blue Devil yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak 13 Ogos lalu.

“Hasil keputusan, mereka itu bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah dan pemeriksaan sama akan diteruskan bagi memastikan tiada lagi pegawai dan anggota polis terbabit.

“Ketika ini, kita sedang memantau setiap gerak geri pegawai dan anggota, jika ada yang mencurigakan, siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Op Blue Devil dilancarkan bertujuan mengesan dan membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador melahirkan kebimbangan mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini dan menjelaskan jumlah kes meningkat dua kali ganda selain turut membabitkan anggota polis.

Operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan dan arahan jelas diberikan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Mohd Khalil Kader Mohd untuk tidak ‘berehat’ dalam operasi Zatul

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:00 PM