DUA pelajar tingkatan empat ditahan selepas disyaki mencuri wang tabung Masjid Jamek Pokok Tampang di Tasek Gelugor. FOTO ihsan Polis
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


DUA pelajar lelaki ditahan selepas mereka dikesan mencuri wang tabung Masjid Jamek Pokok Tampang, Tasek Gelugor, Khamis lalu.

Pelajar tingkatan dua itu ditahan 2 petang, semalam di rumah masing-masing selepas polis menerima laporan daripada ahli jawatankuasa (AJK) masjid berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian disedari seorang lelaki yang juga AJK masjid itu, 4 pagi semalam selepas melihat tabung yang diletakkkan di tiang tercabut.

“Lelaki berkenaan kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati ada kesan kopak dan wang dalam tabung juga lesap.

“Dia kemudian membuat semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati kelibat dua suspek yang masuk dan mengopak peti tabung masjid terbabit,” katanya.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara 10.55 hingga 11.03 malam Khamis lalu dan suspek dilihat menaiki skuter merah masuk ke ruang solat .

“Berdasarkan rakaman CCTV, kita berjaya menahan dua suspek terbabit yang berusia 14 tahun dan masih bersekolah.

“Kedua-dua suspek mengaku mencuri wang dalam tabung masjid berkenaan yang berjumlah RM30 dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 7:42 PM