Kesan diesel di permukaan laut selepas dibuang sebuah kapal perairan Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah. Foto Ihsan APMM
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka/Negeri Sembilan menahan sebuah kapal di kedudukan 3.4 batu nautika di perairan Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah selepas dipercayai membuang sisa bahan bakar kapal berkenaan ke laut, kelmarin.

Hasil pemeriksaan terhadap kapal itu pada 11.50 malam turut menahan kesemua 26 kru warga China, Filipina, Thailand, Myanmar dan Bangladesh yang berusia antara 23 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan.

Pengarah APMM Melaka/Negeri Sembilan Kepten Maritim Amran Daud berkata, perbuatan itu dimaklumkan orang awam kepada pihaknya sebelum sepasukan panggota bergegas ke lokasi pada 5.15 petang.

Menurutnya, kapal muatan minyak itu dipercayai dalam perjalanan dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor ke Pelabuhan Kuala Linggi di Kuala Sungai Baru.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tangki berkenaan melepaskan sisa diesel ke laut,” katanya.

Amran berkata, kesalahan itu adalah kali kedua dikesan pihaknya sepanjang bulan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Pihak kami memandang serius kesalahan ini kerana ia boleh mendatangkan suasana tidak sihat selain kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat diharapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 7:01 PM