SHAMSUL Iskandar Mohd Akin. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


KERAJAAN sedang berbincang dengan Pejabat Peguam Negara dalam usaha mengumpulkan pasukan peguam bagi memfailkan kes ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung diskriminasi ke atas minyak sawit negara.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan susulan yang bakal dibuat kerajaan itu adalah bagi memerangi cubaan diskiminasi terhadap sumber komoditi utama negara itu khususnya dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

“Kita sedang berbincang dengan Pejabat Peguam Negara dalam usaha mengumpulkan pasukan peguam di dalam negara sebelum memfailkan kes ke WTO sebagai suatu tindakan dianggap sebagai diskiminasi terhadap minyak sawit negara.

“Setakat ini kita dapati diskriminasi terhadap komoditi utama negara ini hanya dibuat oleh EU, termasuk di Perancis yang mempunyai undang-undang dalamannya sendiri. Namun, dalam ada pihak yang menghalang, ada juga kumpulan yang mencabar keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Demontrasi Masakan ‘Sayangi Sawitku bersama chef selebriti, Florence Tan sempena Melaka Food Festival 2019 di Bandar Hilir, hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, Kementerian terus agresif mempromosikan kempen ‘Sayangi Sawitku termasuk ke luar negara bagi menjelaskan mengenai kelebihan serta kualiti tinggi yang terdapat minyak sawit negara.

Beliau berkata, kerajaan juga terus meneroka potensi bagi mengeksport minyak sawit ke pasaran negara baharu seperti di Afrika Utara dalam usaha usaha menstabilkan pasaran komoditi utama negara itu.

“Selain meningkatkan hasil minyak sawit di pasaran sedia ada, kita juga terus mencari pasaran baharu menerusi siri lawatan ke luar negara dalam usaha memperkenalkan kelebihan minyak sawit kita ke negara luar.

“Kalau kita lihat benua Afrika sendiri adalah pasaran baharu yang berpotensi untuk memastikan industri sawit negara terus kompetitif. Ini sekali gus dapat memastikan pengeluaran 19 ke 20 juta tan minyak sawit setahun mampu memasuki pasaran sedia ada, selain negara baharu yang berpotensi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 5:58 PM