KERETA peronda polis yang terbakar selepas terbabas ketika mengejar kenderaan penjenayah di Pasir Gudang. FOTO ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


DUA anggota polis nyaris rentung apabila kereta peronda polis (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar ketika mengejar kenderaan dinaiki penjenayah di sekitar Jalan Nusa Damai Utama, Pasir Gudang, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian 3.30 pagi itu, dua anggota berpangkat koperal hanya cedera dan berjaya menyelamatkan diri daripada Proton Wira yang terbakar.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis dari Balai Polis Taman Sceintex membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

“Mereka melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan dan menghampiri kereta berkenaan sambil memasang ‘beacon light’ dan membunyikan siren sebelum mengarahkan pemandu kereta berhenti.

“Bagaimanapun, kenderaan itu terus memecut, lalu dikejar MPV berkenaan sehingga Jalan Persiaran Nusa Damai.

“Selepas membuat pusingan U, pemandu MPV gagal mengawal kenderaan selepas terlanggar bonggol jalan raya lalu terbabas di tepi jalan dan terbalik,” katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kereta peronda polis itu terbakar dan kedua-dua anggota berjaya menyelamatkan diri serta hanyacedera ringan.

“Mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini,” katanya.

Menurut Ismail, kebakaran kereta itu berjaya dipadamkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang yang tiba sejurus kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha mengesan suspek giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 5:52 PM