KEADAAN tenang di Little India. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


TIADA sebarang perhimpunan berlaku di Little India, Brickfields, hari ini, seperti yang dirancang kumpulan tertentu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya berterima kasih dan memuji kumpulan yang tidak berhimpun serta mematuhi arahan yang dikeluarkan polis.

“Kita memandang serius mengenai perkara ini. Kita mahukan keadaan aman damai dan tenteram di Kuala Lumpur serta tidak mengganggu keselamatan di negara kita.

“Terima kasih kerana tidak datang, kami puji sebab tidak datang dan mematuhi arahan polis, namun jika ada pihak yang berdegil kita akan ambil tindakan tegas,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Little India, Brickfields, hari ini.

Mazlan berkata, setakat ini tiada tangkapan baru dilakukan berhubung perhimpunan yang dirancang diadakan itu.

“Namun polis akan mencari siapa dalang di sebalik perhimpunan yang dirancang itu.

“Setakat ini jalan di kawasan ini juga ditutup namun polis akan membuat penilaian sebelum membuka laluan di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, polis turut menasihatkan kepada pihak tertentu supaya tidak melakukan sebarang himpunan berhubung isu tulisan khat dan Dr Zakir Naik.

“Isu ini sudah diselesaikan, jika ingin buat perhimpunan, (mereka) sengaja buat suasana tidak tenteram dan kita minta perkara ini dijauhi supaya dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di lokasi yang ingin dijadikan tempat berhimpun didapati dalam keadaan terkawal.

Pegawai dan anggota polis juga turut mengawasi keseluruhan kawasan Little India bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Berita berkaitan

Penganjur perhimpunan di Brickfields dibebaskan

Penganjur perhimpunan di Little India ditahan

Nak kena angkut, datanglah..

Polis nafi berlaku rusuhan di Brickfields

Tiada suasana 'tak menyenangkan' di Brickfields

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 3:53 PM