ANGGOTA polis trafik menutup laluan masuk ke Little India di Brickfields hingga ke NU Sentral. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


DUA individu yang ditahan semalam bagi diambil keterangan kerana menganjurkan perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil di Little India, Brickfields, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua individu berkenaan diberi jamin 1 tengah hari selepas semua siasatan selesai.

“Semua tindakan siasatan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sudah dipenuhi,”katanya.

Beliau sebelum ini turut meminta orang ramai untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan ketana ianya melanggar undang-undang.

Katanya pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sehingga membuat tangkapan kepada mereka yang masih berdegil.

Tinjauan Harian Metro di Little Indian, Brickfields mendapati polis pada masa ini sudah menutup laluan masuk ke Jalan Brickfields, menerusi Jalan Travers, berhampiran bangunan Bank Rakyat.

Pegawai dan anggota polis juga turut mengawasi keseluruhan kawasan Little India, Brickfields bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu dua individu dipercayai penganjur ditahan bagi diambil keterangan kerana menganjurkan perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe dilaporkan berkata, kedua-duanya ditahan kerana menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran yang disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Katanya, sebelum ini polis sudah menasihatkan penganjur serta orang ramai untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak mendapat kebenaran selepas notis yang dikemukakan penganjur tidak lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 2:39 PM