KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


SEORANG penumpang wanita bas ekspres maut manakala pemandu bersama 16 penumpang lain cedera selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh lori di Kilometer 397.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan di Hulu Selangor, 5.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, bas ekspres yang membawa 27 penumpang itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur.

Katanya, ketika melalui lokasi kejadian bas ekspres itu merempuh belakang lori di lorong kiri jalan lalu terbabas ke lorong kanan.

"Akibat rempuhan yang kuat seorang penumpang warga Myanmar, Somera Begum Muhammad, 33, tercampak keluar dan maut di lokasi kejadian.

"Kesemua mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati pemandu bas itu tidak mempunyai rekod saman namun bas ekspres itu mempunyai 40 rekod saman yang masih belum dijelaskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua dan 10 tahun dan denda antara RM5,000 dan RM20,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 1:53 PM