OPERASI di kaunter daftar masuk KLIA kembali pulih dengan tiket dapat dikeluarkan mengikut sistem biasa. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


SETAKAT 11 pagi ini, gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya dipulihkan.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi kemas kini situasi di Instagram memaklumkan, sistem di kaunter daftar sudah tidak lagi dilakukan secara manual.

“Pihak kami bagaimanapun akan terus memantau kestabilan sistem rangkaian di KLIA,” kata MAHB.

Sementara itu, tinjauan wartawan mendapati kesesakan berkurangan di KLIA dan kadar orang ramai beratur di kaunter daftar masuk, terkawal.

Sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) kembali berfungsi seperti sedia kala tanpa perlu lagi dilakukan secara manual.

Duta Airport CARE turut bekerja keras bagi memastikan keselesaan penumpang dengan mengedar minuman teh dan kopi dari 6.30 pagi hingga 9 pagi.

Difahamkan, Duta Airport CARE juga akan mengedarkan pek makanan tengah hari kepada penumpang di kaunter daftar masuk.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd Raja Azmi Raja Nazuddin dilapor berkata, gangguan sistem itu dialami sejak Rabu disebabkan kegagalan rangkaian.

Katanya, sebagai penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

Berita berkaitan:

  • Apa sudah jadi KLIA?
  • MAVCOM bimbang insiden gangguan di KLIA
  • MAHB tak minta bantuan sukarelawan
  • Kami kecewa, penat menunggu
  • KLIA terus alami gangguan sistem
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 1:45 PM