GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SELEPAS hampir sebulan diburu polis, tiga sekawan yang dipercayai merogol jurulatih gimnasium, 28 Julai lalu akhirnya ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tiga suspek berusia diantara 32 dan 33 tahun itu ditangkap secara berasingan di beberapa lokasi sekitar daerah ini mulai 1 tengah hari hingga 11 malam.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau.

“Semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Ogos ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu merogol secara berkumpulan,” katanya kepada Harian Metro.

Shamsul Amar berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi 28 Julai lalu itu, mangsa yang berusia 32 tahun dibawa keluar oleh seorang rakan Facebook lelaki dari rumahnya di Shah Alam dengan menaiki kereta hitam.

Katanya, lelaki itu kemudiannya membawa mangsa ke Taman Sentosa, Klang dan memintanya untuk mengadakan hubungan seks.

“Tidak lama kemudian, dua rakan lelaki itu juga datang ke rumah berkenaan dan meminta perkara sama dan mangsa kemudiannya dirogol bergilir-gilir oleh mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 1:44 PM