MOHAMADDIN (tiga dari kiri) pada Majlis Pembukaan Semula Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


TRAGEDI menimpa remaja Ireland Nora Anne Quoirin tidak akan menjejaskan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, kementeriannya tidak menerima maklum balas negatif daripada agensi pelancongan mahupun pihak lain susulan insiden itu.

Malah katanya, kejadian berkenaan kes terpencil dan boleh juga berlaku di mana-mana negara yang menjadi tumpuan pelancong.

“Kita turut sedih dan bersimpati dengan kejadian yang menimpa Nora Anne, begitu juga dengan kejadian lemas pelancong dari Yemen ketika berswafoto atas jet ski di Pantai Chenang, Pulau Langkawi baru-baru ini.

“Remaja itu dilapor membuka jaket keselamatan dipakainya sebelum terjatuh ke laut dan lemas, ia berlaku di luar jangkaan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Semula Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad (KRKMM), Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata, insiden sebegitu tidak boleh dijadikan pengukur kepada gambaran sebenar sektor pelancongan Malaysia, sedangkan kemasukan pelancong direkod meningkat setiap tahun.

Katanya, kerajaan dan pemain industri turut menjalankan aktiviti promosi ke seluruh Asia dan antarabangsa.

“Selain giat mempromosi Malaysia ke Perancis, Jerman, London dan negara lain di Eropah, kita juga memberi tumpuan untuk menggamit pelancong dari negara ASEAN terutama Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei, Vietnam dan Filipina.

“Negara lain Asia adalah Jepun, China, India dan Korea Selatan kerana mencatatkan jumlah kemasukan pelancong yang tinggi pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Sementara itu, kerajaan akan terus memperkasakan KRKMM sebagai destinasi pelancongan utama kerana nilai sejarah seorang negarawan terbilang.

Mohamaddin berkata, 396,2013 orang telah melawat KRKMM dari 2013 hingga 2017 sebelum kompleks ditutup sementara untuk kerja baik pulih dan naik taraf dengan teknologi baharu berbentuk animasi hologram serta tiga dimensi (3D).

“Diharapkan dengan pembukaan semula kompleks ini akan menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 1:41 PM