GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalami kerugian kira-kira RM58 juta berikutan tunggakan sewa terkumpul penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sehingga 1 Julai lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan berkata, tunggakan itu membabitkan lebih 26,000 penyewa dari keseluruhan 46,000 penyewa unit perumahan terbabit di sekitar ibu negara.

Kata Nur Hisham, ada penghuni perumahan itu yang sejak bulan pertama duduki tidak membayar sewa hingga tunggakan melebihi RM10,000 dan ia jelas tidak adil kepada penyewa lain yang membayar sewa setiap bulan.

“Tunggakan yang tinggi ini boleh menjejaskan perkhidmatan DBKL kepada penduduk kerana hasil kutipan sewa ini turut digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan penyelenggaraan rumah PPR dan PA.

“Di pihak DBKL, kita sudah banyak bertolak ansur selain melaksanakan beberapa program untuk membantu penyewa menjelaskan tunggakan mengikut kemampuan masing-masing dan jika masih ingkar, mereka bakal berdepan tindakan lanjut,” katanya kepada media pada program Perumahan Ku Bersih dan Karnival Kerjaya di PPR Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Sementara itu, Khalid berkata, program Perumahan Ku Bersih dilaksanakan untuk mentransformasikan keindahan dan keceriaan PPR di bawah pentadbiran DBKL ke arah lebih seragam demi merealisasikan visi menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Bandar Raya Tropika Lestari’ menjelang 2020.

Kata beliau, ia akan diperluaskan ke seluruh kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan bagi mewujudkan komuniti yang lebih peka dalam menjaga kebersihan.

“Pengisian program itu juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa dengan menaiktaraf kemudahan awam, memperkasakan ekonomi penduduk, meningkatkan taraf pendidikan serta bantuan aspek kebajikan.

“Selain itu, menerusi kerjasama dengan Jobs Malaysia, DBKL turut mengadakan program karnival kerjaya bagi memberi peluang kerja kepada penduduk.

“Diharapkan, dengan adanya peluang kerja itu penyewa tidak lagi berhadapan dengan masalah tunggakan sewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 1:27 PM