LELAKI yang dipercayai mencuri duit tabung masjid. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


LELAKI diburu polis selepas disyaki memecahkan tabung Masjid Kariah Batu 17 Chembong, Rembau membabitkan kerugian RM300.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kejadian disedari ahli jawatankuasa masjid selepas melihat tabung di ruang solat wanita dipecahkan dan ada kesan umpil, pada 2.15 petang Khamis lalu.

“Dia kemudian memaklumkan kejadian kepada imam dan setiausaha masjid. Hasil pemeriksaan mendapati wang di dalam tabung hilang manakala mangga dipecahkan.

“Selepas itu, mereka menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki membawa beg sandang serta pemutar skru masuk ke ruang solat itu pada 10.14 pagi hari sama.

“Suspek menuju ke tabung dan mengumpil mangga dengan pemutar skru. Sebaik mangga terbuka suspek mengambil wang kertas di dalam tabung dianggarkan RM300 dan memasukkan ke dalam beg sandangnya sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anuar berkata, susulan kejadian itu mereka membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, Asisten Superintendan Md Nurazam Md Ghazali 013-8005225 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor VM Siva Bharathi di talian 016-7121465.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 12:00 PM