PASPORT palsu serta peralatan dirampas daripada sindiket pemalsuan dokumen beroperasi di pangsapuri di Jalan Nagasari, Kuala Lumpur. FOTO ihsan JIM.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


SINDIKET pemalsuan dokumen beroperasi di pangsapuri di Jalan Nagasari, Kuala Lumpur dan aktif menghasilkan pasport palsu sejak lima bulan lalu akhirnya tumpas selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), tengah malam semalam.

Sindiket didalangi lelaki warga Bangladesh itu dikesan mahir meminda biodata muka hadapan pasport serta maklumat visa dengan bayaran hanya RM200.

Pelanggannya pula terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan India dari sekitar Lembah Klang.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dijalankan 15 pegawai Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, mereka menahan dalang utama lelaki Bangladesh serta dua lagi lelaki dan seorang wanita warga asing.

“Dalam serbuan itu, JIM merampas 99 pasport palsu pelbagai negara, 11 keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), i-Kad (6), telefon bimbit (5) dan masing-masing satu unit komputer riba dan mesin pencetak.

“Pasukan serbuan turut menemui wang tunai RM53,000 dipercayai hasil urus niaga penghasilan dokumen palsu oleh sindiket berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu hanya mensasarkan pelanggan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan India.

Katanya, sindiket itu menggunakan perisian khas bagi meminda biodata muka hadapan pasport yang dipalsukan.

“Suspek utama lelaki warga Bangladesh itu ditahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan suatu pas atau endorsement dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kebenaran sah.

“Dua lagi lelaki serta seorang wanita warga asing itu pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 10:50 PM