Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis melumpuhkan satu sindiket penyeludupan ayam sabung antarabangsa yang bernilai RM675,000 di perairan Kuala Perlis berdekatan sempadan perairan Malaysia- Thailand pagi tadi.

Pengarah JKDM Perlis Wan Nor Wan Mamat berkata, pihaknya berjaya merampas 270 ekor ayam hidup jenis ayam sabung yang dimuatkan ke dalam 216 buah kotak kayu dalam operasi pada 6 pagi itu.

Menurutnya, lima lelaki warga Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan dan direman selama 15 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(B) Akta Kastam 1967.

“Dalam tangkapan pagi tadi, pihak kami melalui unit marin terserempak dengan dua bot dalam keadaan mencurigakan di tengah perairan antara Kuala Perlis dan Pulau Langkawi, Kedah.

“Ketika mendekati kedua bot berkenaan, didapati sebuah daripadanya yang dipercayai milik warga Thailand berjaya melarikan diri ke sempadan Thailand, manakala sebuah lagi gagal meloloskan diri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JKDM, Kuala Perlis hari ini.

Wan Nor berkata, hasil siasatan terhadap bot yang ditahan itu mendapati kelima suspek baru selesai memindahkan kesemua kotak berisi ayam sabung berkenaan dan mereka gagal menunjukkan sebarang permit import yang sah kepada pihaknya.

“Tiada sebarang permit atau pengesahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terhadap ayam berkenaan di Thailand, malah mereka juga tidak mempunyai sebarang permit pemindahan sementara bagi membolehkan ayam terbabit masuk ke dalam negara ini.

“Mereka juga memilih untuk melakukan aktiviti pemerdagangan di tengah lautan serta dilakukan seawal 6 pagi kononnya dengan menyangkakan tiada rondaan rutin dilakukan pihak berkuasa.

“Namun ternyata sangkaan mereka salah dan kita berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan ayam sabung terbesar setakat ini selepas rampasan terakhir yang dilakukan adalah pada 2015,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya ayam terbabit akan dibawa ke Indonesia memandangkan permintaannya yang tinggi di negara berkenaan.

“Turut dirampas sebuah bot dari Indonesia dan kesemua ayam terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 9:19 PM
Wan Nor (tiga kiri) dan pegawai JKDM Perlis bersama sebahagian ayam sabung yang dirampas di perairan Kuala Perlis hari ini. Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman