FOTO Hiasan
BERNAMA

PADAH menawarkan khidmat seks kepada anggota polis, seorang lelaki dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap A Sri Vinod Lal, 31, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 Ogos lalu.

Sri Vinod Lal didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan kepada seorang anggota polis dengan bayaran RM50 untuk sekali perkhidmatan di hadapan sebuah hotel di Jalan Raja Laut jam 8.15 malam, 20 Ogos lalu.

Tertuduh tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

Di mahkamah sama, seorang wanita warga Indonesia, Linda, 36, didenda RM2,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku salah menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis lain dengan bayaran RM230 di sebuah hotel di Jalan Yew, Pudu jam 1.50 petang, 14 Ogos lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam, Nik Nur Athira Mat Zaidan, merayu hukuman ringan kerana berstatus ibu tunggal dan perlu menanggung tiga anak serta ibu bapanya yang berada di Indonesia.

Pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 9:05 PM