Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@hmetro.com.my


POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan berhubung ahli parti politik menerima keris dan surat ugutan daripada pengirim yang didakwa menggunakan perkhidmatan syarikat pengiriman itu.

Pos Malaysia dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis dalam melengkapkan siasatan berkenaan.

Menurutnya, mengikut Akta Perkhidmatan Pos 2012 setiap kakitangan pos dan kurier Pos Malaysia dilarang

daripada membuka sebarang surat atau bungkusan pengirim.

“Namun, Pos Malaysia juga tidak membenarkan penghantaran barangan berbahaya terutamanya senjata seperti yang dinyatakan dalam panduan yang dipamerkan di semua cawangan di seluruh negara dan laman web rasmi Pos Malaysia.

“Sekiranya surat atau bungkusan yang disyaki mengandungi barangan larangan (senjata) ditemui, Pos Malaysia dengan segera akan memaklumkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, pihak yang menerima barangan yang dianggap berbahaya mereka dinasihatkan melaporkan perkara itu kepada Pos Malaysia dan pihak berkuasa.

“Berhubung laporan mengenai penerima yang mendapat keris dan surat ancaman itu, pihak kami difahamkan individu itu sudah membuat laporan polis di mana kami akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Selain itu, Pos Malaysia juga akan menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara terbabit selain untuk

menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai barangan larangan atau berbahaya untuk di kirim melalui Pos Malaysia boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1300-300-300 atau email pertanyaan di care@pos.com.my.

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan seorang ahli DAP Balakong Lee Khai Ming menerima sebilah keris serta surat ugutan yang turut memaparkan gambar isteri dan anaknya menerusi sepucuk surat yang dikirim menerusi syarikat terbabit.

Bagaimanapun, netizen mempertikaikan dan mempersoalkan perkara itu disebabkan Pos Malaysia tidak akan mengirim senjata atau barangan berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof sebelum ini mengesahkan pihaknya ada menerima laporan itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Berita berkaitan

Ahli politik 'dapat' keris

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 8:46 PM