Kapal yang ditahan APMM Johor kerana berlabuh tanpa kebenaran. FOTO Ihsan APMM
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah kapal tangki selepas dipercayai berlabuh tanpa kebenaran berhampiran Jeti Maritim Sungai Pulai, Johor Bahru semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, dalam kejadian 1.45 tengah hari itu, kapal tangki dengan muatan Marine Gas Oil dikesan berlabuh oleh kapal peronda Maritim Negeri Johor pada kedudukan 4.6 batu nautika tenggara Tanjung Piai dekat sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas kapal yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia itu mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari Pengarah Laut.

“Kapal berkenaan dikendalikan lima lelaki warga Indonesia termasuk nakhoda berusia 33 hingga 55 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:19 PM