FOTO hiasan
BERNAMA

POLIS menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai akan berlakunya rusuhan di Little India, Brickfields pada hari ini dan esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, dakwaan itu tidak benar dan keadaan di lokasi berkenaan adalah selamat dan terkawal.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dan menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menyebabkan kegusaran dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Semalam, polis dalam satu kenyataan, memaklumkan menerima notis pemakluman daripada penganjur berhubung hasrat mengadakan satu perhimpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians dan Other Races’ di ‘Water Fountain Little India’, Brickfields, jam 2 petang, esok (hari ini).

Bagaimanapun, polis menyatakan notis dikemukakan tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang serta penganjur dinasihatkan tidak meneruskan perhimpunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:18 PM