SUSPEK (berbaju biru) ditahan penguat kuasa AADK. FOTO ihsan AADK
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


“EKAU ni kenapo la tak berubah laie, kato nak berubah, omak dah sediokan duit buek ekau poie umrah. Sekarang ni macam mano jang oi."

Itu kata-kata seorang ibu kepada anaknya yang berusia 56 selepas lelaki itu didapati positif dadah jenis syabu dalam Op Cegah yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Port Dickson, di rumahnya dekat Jimah, awal pagi semalam.

Penolong Pegawai AADK Port Dickson, Fazlyana Asan berkata, dalam operasi yang bermula jam 1 pagi itu, seramai lapan lelaki disaring ujian air kencing sebelum empat daripada mereka didapati positif syabu.

"Operasi dijalankan di sekitar Jimah, Lukut, Port Dickson dan Teluk Kemang bermula 1 pagi dan berakhir kira-kira 5 pagi. Kami melakukan ujian awal urin terhadap lapan lelaki sebelum mendapati empat daripada mereka yang berusia dari 16 hingga 56 tahun positif syabu.

"Ketika pemeriksaan di sebuah rumah di Jimah, seorang wanita terkejut apabila anaknya yang berusia 56 tahun masih mengambil dadah walaupun berjanji mahu berubah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang mengetuai operasi berkata, wanita berusia 80-an itu mengeluarkan kata-kata yang meruntun jiwa apabila ujian air kencing mengesahkan anak lelakinya masih tidak berubah, malah dia sudah menyimpan wang untuk anaknya menunaikan umrah.

"Ketika pemeriksaan di rumah itu, kami menemui 'dapur' yang digunakan untuk menagih dadah," katanya.

Beliau berkata, dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah dekat di Telok Kemang, pihaknya menahan dua beradik berusia 16 dan 21 tahun kerana didapati positif dadah.

"Semua yang ditahan termasuk remaja yang tidak bersekolah itu dibawa ke pejabat kami untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 3:29 PM