DR Ahmad Samsuri (tengah), Ahmad (dua kiri) dan Wan Rosdy (dua kanan) berdoa pada program Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur di Stadium Tertutup Gong Badak. FOTO Ghazali Kori.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


HIMPUNAN Tiga Menteri Besar Pantai Timur di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu menjadi titik penyatuan ummah bagi Terengganu, Kelantan dan Pahang selaras kerjasama PAS-UMNO.

Program julung kali diadakan itu menyatukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Dr Ahmad Samsuri berkata, penyatuan mereka dalam himpunan itu untuk membina suatu fahaman baharu dalam masyarakat terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Sentimen akar umbi rakyat di Pantai Timur mungkin agak lain di Pantai Barat sebab (dikuasai oleh parti) PAS dan UMNO, parti yang berlawan sejak sekian lama jadi kali ini kami cuba nak membawa mesej kepada mereka sekiranya pemimpin pun boleh bekerjasama apatah lagi yang di bawah.

“Apa yang dilakukan pemimpin wajar menjadi contoh kepada keseluruhan bermula di peringkat kepemimpinan hingga di bawah termasuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Himpunan Tiga Menteri Besar Pantai Timur, semalam.

Program yang melakar sejarah tersendiri itu menyaksikan 20,000 rakyat dari Kelantan dan Pahang bersama Terengganu membanjiri stadium itu untuk HIMPUN yang dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, selain solat sunat hajat dan ceramah oleh pendakwah bebas, Azhar Idrus.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa program itu adalah agenda untuk melihat sokongan rakyat terhadap kerjasama PAS dan UMNO sebelum memeterai piagam serta memorandum persefahaman (MoU) pada 14 September ini.

“Jika benar begitu, tentunya program ini akan dibuat di negeri lain juga. Jadi saya rasa dakwaan ke arah itu (agenda untuk melihat sokongan rakyat) tidak ada kena mengena.

“Cuma kita rasakan ada ruang dan peluang untuk menjalin kerjasama baik antara tiga kerajaan dalam pelbagai aspek terutama dalam pentadbiran sebagai negeri pembangkang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 3:26 PM