LITTLE India, Brickfields. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS menafikan mesej tular yang mengatakan akan berlaku keadaan ‘tidak menyenangkan’ atau rusuhan di Little India, Brickfields pada hari ini dan esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe berkata, mesej itu tidak benar dan kawasan berkenaan disahkan dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Orang ramai dinasihati tidak mudah percaya atau menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menyebabkan kegusaran masyarakat.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, mesej tular di aplikasi Whatsapp sejak semalam yang memberi amaran berlakunya rusuhan di kawasan berkenaan.

“Salam untuk semua... Ini makluman yang baru diterima untuk keselamatan mall (pasar raya) di kawasan Brickfields. Untuk esok (hari ini) bermula 7 hingga 9.30 malam akan ada keadaan yang tidak menyenangkan (kerana dijangka akan ada rusuhan) bermula di kawasan Little India hingga ke NU Sentral.

“Kami anggota keselamatan diberitahu semasa Roll Call tadi. Pada hari Sabtu 24 Ogos pula dijangka bermula 2 hingga 4.00 petang, jadi untuk keselamatan adik-beradik dan keluarga semua, dinasihatkan supaya tidak melalui kawasan Brickfield pada tarikh tersebut... Sekian harap maklum,” kata mesej berkenaan.

Semalam dilaporkan, polis menasihati orang ramai tidak menghadiri perhimpunan yang dirancang di Brickfields, pada petang Sabtu, susulan kegagalan penganjur mengemukakan notis lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 2:06 PM