PAUL Yong (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


“MESTI! (teruskan tugas Exco) Saya tidak buat apa-apa, saya sudah katakan setakat ini saya bukan penjenayah,” tegas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia memberitahu akan kekal menjalankan tugasnya.

Meskipun dinasihatkan supaya bercuti, beliau tekad terus menjalankan tugas sepanjang tempoh kesnya dibicarakan di mahkamah.

Katanya, selagi belum dijatuhi hukuman, beliau tidak boleh dianggap pesalah dan masih lagi EXCO kerajaan negeri yang dipilih dan mewakili rakyat.

“Saya masih belum dijatuhkan hukuman oleh itu mesti (jalankan tugas) kerana rakyat yang beri mandat, jadi saya kena berikan perkhidmatan saya pada rakyat.

“Mengapa saya perlu berhenti? Apa sebab saya mahu cuti?” katanya pada sidang media di luar mahkamah sebaik dibenar diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu malam tadi dilapor sekali lagi menasihati Paul Yong supaya bercuti daripada tugas rasmi termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang membabitkan proses membuat keputusan sehingga perbicaraan kesnya selesai.

Ia sebagai menghormati undang-undang negara.

Sementara itu, peguam Paul Yong, Ramkarpal Singh berkata, pihaknya sudah menyerahkan representasi kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk disampaikan kepada Peguam Negara agar pertuduhan itu digugurkan susulan terdapat perkembangan terbaharu dalam kes berkenaan.

“Representasi susulan laporan polis dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas, malam tadi.

“Aduan itu mengatakan individu yang membawa mangsa ke balai polis bagi membuat laporan, dikatakan dibayar sehingga RM100,000 dan kami berpendapat ini perkara serius dan relevan terhadap kes dihadapi Paul Yong. Ia perlu disiasat secara mendalam dan menyeluruh,” katanya.

Bagaimanapun, Ramkarpal berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya kes itu diteruskan.

Berita berkaitan

Paul Yong mengaku tak bersalah

Paul Yong dinasihatkan bercuti

Exco Perak didakwa esok

Laporan kimia kes rogol sudah ada - Polis

EXCO Perak ditahan untuk siasatan

'Tuduhan berunsur fitnah'

Pembantu rumah ditempatkan di tempat selamat

Exco Perak disyaki rogol pembantu rumah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 1:26 PM