KERETA yang terbabit kemalangan hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


DUA lelaki maut selepas motosikal ditunggang berasingan terbabit kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Padang Serai ke Tasik Gelugor dekat Kulim, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohammadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 7.49 pagi.

Katanya, anggota bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Pulau Pinang tiba lebih awal sebelum sepasukan dari BBP Kulim Hi-Tech ke lokasi.

“Kemalangan membabitkan kereta, lori dan tiga motosikal, malah ketika anggota tiba, dua penunggang sudah meninggal dunia.


KEMALANGAN yang menyebabkan dua penunggang motosikal maut. FOTO Ihsan Bomba.

“Selain itu seorang wanita dan dua kanak-kanak yang menaiki Perodua Myvi cedera. Turut cedera pemandu lori jenis Nissan. Seorang lagi penunggang motosikal selamat,” katanya, hari ini.

Mohammadul Ehsan berkata, anggota membantu mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 10:45 AM