LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai polis mengesan pemandu Perodua Alza yang memandu melawan arus.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


POLIS menahan pemandu wanita yang memandu kereta Perodua Alza secara berbahaya dengan melawan arus hingga menyebabkan beberapa kenderaan terbabit kemalangan di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pemandu wanita berusia 27 tahun itu ditahan selepas hadir ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya, 8.45 malam semalam.

Beliau berkata, wanita itu mengaku memandu kereta Perodua Alza berkenaan secara melawan arus kerana tersalah masuk ke laluan bertentangan.

“Menerusi siasatan dijalankan, wanita itu mengaku memandu secara melawan arus ketika dalam perjalanan hendak pulang ke rumah.

“Wanita itu mendakwa kerana terlalu panik, dia meneruskan perjalanan dan mahu keluar cepat dari laluan berkenaan selepas tersilap masuk laluan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu turut menyebabkan dua kenderaan terbabit kemalangan apabila pemandunya terpaksa menghentikan kenderaan secara mengejut berikutan mahu mengelak kereta dipandu wanita berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan wanita itu sudah dibebaskan dengan jaminan sebaik keterangannya dirakamkan.

Semalam, Harian Metro melaporkan polis mengesan pemandu kereta Perodua Alza yang memandu secara berbahaya dengan melawan arus.

Tindakan pemandu itu dirakam pengguna jalan raya yang lain dan rakaman video berkenaan kemudian turut tular di media sosial.

Berita berkaitan

'Cari pasal betul... [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 10:26 PM