AMIRUDDIN (tengah) menyampaikan piala kepada Nadia (kanan) sambil diperhatikan Sherene ketika MTMA 2019. FOTO MAHZIR MAT ISA
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


PERKHIDMATAN kesihatan terbaik dengan harga berpatutan menjadikan Malaysia antara destinasi pelancongan kesihatan terbaik dunia.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, kedudukan Malaysia semakin kukuh dalam industri pelancongan kesihatan hasil kerjasama dan promosi media sehingga mampu meningkatkan pendapatan dalam sektor berkenaan.

Menurutnya, jumlah pelancong mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Malaysia kini mencecah 1.2 juta orang tahun lalu berbanding 643,000 orang pada 2011.

“Sokongan daripada media tempatan dan antarabangsa serta pemain industri seperti hospital memainkan peranan penting melonjakkan industri pelancongan kesihatan.

“Media juga berjaya mempromosikan pelancongan kesihatan ini sehingga Malaysia menjadi negara Asia pilihan untuk pelancong mendapatkan perkhidmatan itu,” katanya ketika Majlis Anugerah Media Pelancongan Kesihatan 2019 anjuran Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli; Pengarang Eksekutif (Rencana) Harian Metro, Mohd Radzi Wahab dan Pengarang Berita Kanan (Rencana) Harian Metro, Ahmad Shahrul Nizam Muhammad.

Pada majlis itu, bekas wartawan New Straits Times (NST), Nadia Badarudin memenangi kategori Laporan Berita (Cetak) terbaik menerusi artikel ‘Siti Nurhaliza’s heartwarming journey to motherhood’.

Harian Metro menerusi wartawan, Hafiz Ithnin turut tersenarai dalam lima artikel terbaik media cetak bersaing dengan 250 penyertaan dari 10 negara termasuk Malaysia.

Terdahulu, Sherene berkata, industri pelancongan kesihatan Malaysia melonjak hasil dedikasi media yang membantu mempromosikan sektor ini untuk pelancong tempatan dan luar negara.

“Sektor ini mampu memberi impak tinggi khususnya kepada ekonomi negara dengan pertambahan pelancong setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 10:18 PM