Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


“DAMIA nak ziarah kubur papa dan ummi. Damia rindu mereka”. Itu ungkapan Nur Damia Sofea Azmi, 7, salah seorang mangsa kemalangan mengakibatkan ibu bapanya maut, minggu lalu.

Dalam kejadian 4.10 pagi, 16 Ogos lalu, di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Lepan Jaya di Gua Musang, Toyota Avanza dinaiki lima sekeluarga hilang kawalan sebelum bertembung dengan van Toyota Hiace dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentangan.

Kemalangan mengakibatkan Che Azmi Che Hamzah, 48 dan isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43, maut di tempat kejadian, manakala tiga anak pasangan itu Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, Mohamad Afiz Zulhilmi, 13 dan Nur Damia Sofea parah dan menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Pemandu van, Zulfaizan Muhamad, 43, turut maut dalam kemalangan itu.

Sepupu Nur Damia Sofea , Nor Hazila Ismail, 31, berkata, anak bongsu daripada lima beradik berulang kali mahu menziarah kubur ibunya selepas dibenarkan pulang daripada hospital, kelmarin.

“Saya kasihan melihat keadaan Damia yang menangis hampir setiap malam ketika hendak tidur kerana teringatkan arwah ibu bapanya.

“Insya-Allah, saya akan membawa sepupu ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga untuk menziarahi kubur ibu bapanya dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rahmat, di Gua Musang, hari ini.

Terdahulu, Nur Damia Sofea menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof dan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Ab Ghani.

Nor Hazila berkata, lima beradik itu akan tinggal di rumah ibunya, Norani Mohamed, 54, di Kampung Rahmat kerana mereka sudah biasa tinggal di situ sebelum ini.

“Damia juga tidak mahu pulang ke rumahnya di Taman Mesra di bandar Gua Musang kerana tidak sanggup berdepan kesunyian selepas ketiadaan ibu bapanya.

“Sebelum ini, emak saya yang menjaga lima beradik itu ketika arwah ibu bapa mereka bekerja dan tidak ada masalah untuk terus berbuat demikian,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Adik nak jumpa mama'
  • Suami isteri antara tiga maut
  • Ajal selepas ziarah jenazah saudara
  • Pasangan suami isteri dikebumi bersama
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 2:24 PM