Pegawai MAQIS (kiri) bersama anggota Batalion 9 PGA ketika serahan hasil rampasan ayam. FOTO Ihsan MAQIS Kelantan
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan merampas 3,600 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM30,000 dipercayai diseludup dari negara jiran di Pengkalan Haram Jitong, Rantau Panjang kelmarin.

Dalam operasi 11.30 malam itu, sebuah lori dan van bernilai RM50,000 yang digunakan untuk mengangkut 300 kotak berisi ayam sejuk beku itu turut disita.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat apabila suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki bot ke negara jiran sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pengarahnya, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan itu hasil daripada Ops Wawasan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Ini adalah rampasan pertama membabitkan ayam sejuk beku bulan ini.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kegiatan penyeludupan ayam sejuk beku kembali aktif mungkin kerana mereka beranggapan pihak berkuasa berdiam diri namun sebenarnya kami aktif dalam membanteras penyeludupan.

“Kerjasama erat MAQIS dan agensi keselamatan lain yang komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan khususnya membabitkan hasil pertanian dan penternakan menggagalkan banyak cubaan penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport ayam sejuk beku tanpa mempunyai permit import sah MAQIS salah mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Mereka yang terbabit juga boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) dalam akta sama yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kuarantin dan Pemeriksaan (Perkompaunan Kesalahan 2019) sehingga RM50,000,” katanya.

Mohd Azam berkata, MAQIS sentiasa mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 12:51 PM