Muhyiddin memakaikan pangkat Ketua Pengarah APMM kepada Mohd Zubil. FOTO Ihsan Bernama
BERNAMA

TIMBALAN Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dilantik Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang baharu berkuat kuasa 19 Ogos lalu.

Pelantikan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang kelima itu menyaksikan beliau dinaikkan pangkat kepada Laksamana Maritim daripada Laksamana Madya Maritim.

Upacara kenaikan pangkat dan pelantikan itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Mohd Zubil, 56, yang memulakan perkhidmatan bersama agensi itu sejak 2006 dilantik menggantikan Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar yang bersara wajib 5 Ogos lalu.

Sepanjang perkhidmatannya, Mohd Zubil memegang pelbagai jawatan dalam sektor operasi, logistik dan pengurusan sebelum ke jawatan terakhir selaku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang disandangnya sejak Oktober 2018.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan antara Mac 2016 hingga Oktober 2018 dan terbabit secara langsung dalam merancang serta mengatur operasi dan penempatan aset Maritim Malaysia di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi menjaga keselamatan perairan Sabah Timur.

Beliau juga Komander Operasi bagi Ops Naga iaitu operasi khas menangani isu pencerobohan bot nelayan Vietnam di perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 12:21 PM