Azman (kanan) menerima anugerah One Diamond daripada SEDA baru-baru ini. FOTO Ihsan PLUS
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


IBU Pejabat PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Persada PLUS menerima pengiktirafan One Diamond bagi Penilaian Karbon Rendah Bangunan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), baru-baru ini.

Kejayaan itu menjadikan PLUS sebagai syarikat konsesi lebuh raya pertama di negara ini menerima pengiktirafan berkenaan.

Pengiktirafan itu diberikan kepada organisasi yang berjaya membuktikan kemampuan dalam melaksanakan usaha penggunaan tenaga elektrik yang efisien, penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ia satu lagi kejayaan pihaknya bagi memperluaskan Teknologi Hijau dalam usaha memulihara alam sekitar untuk komuniti dan kakitangan di bangunan Persada PLUS.

“Inisiatif hijau PLUS bermula dengan pelancaran Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik berasaskan tenaga solar pertama di Malaysia di Restoran Jejantas Ayer Keroh (arah selatan) pada Disember 2018.

“Ia termasuk kawasan Rehat dan Rawat (RnR) pertama yang menggunakan tenaga solar fotovolta iaitu di RnR Machap (arah utara) April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, berdasarkan Pelan Halatuju Hijau PLUS, panel solar fotovolta juga akan dipasang di RnR lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ia antaranya Restoran Jejantas Sungai Buloh, Restoran Jejantas Ayer Keroh, R&R Dengkil, RnR Gurun , RnR Gunung Semanggol, RnR Tapah dan RnR Ayer Keroh,” katanya.

Penerima anugerah One Diamond dipilih berdasarkan kriteria peratusan pengurangan pelepasan gas karbon dioksida yang direkodkan oleh satu bangunan secara tahunan sekali gus memberi kesan dalam penjimatan penggunaan tenaga elektrik yang digunakan.

Tahun lalu, Persada PLUS berjaya mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida 6.75 peratus iaitu bersamaan dengan 286.78 tan metrik gas karbon dioksida dan penjimatan tenaga elektrik sebanyak 413,228 kWh (kilowatt-jam).

Ia tercapai menerusi pemasangan Variable Speed Drive (VSD) bagi sistem penghawa dingin, mengurangkan penggunaan masa sistem penghawa dingin, membangunkan teknologi solar fotovolta, melaksanakan de-lamping (mengalih penggunaan lampu ‘fluorescent’ di lokasi pencahayaan mencukupi dan lampu tidak diperlukan) selain memasang motion sensor lampu di tandas dan surau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 11:42 AM