LOKASI mayat itu ditemukan. FOTO Ihsan PPM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


MAYAT lelaki dalam keadaan hampir reput ditemui terapung di perairan Pulau Mengalum, dekat Kota Kinabalu, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, mayat lelaki tiada pengenalan diri itu ditemui 11 pagi.

Ia selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang polis bantuan di sebuah pelantar minyak di kawasan berhampiran pulau berkenaan.

Katanya, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota PPM Kota Kinabalu menggunakan bot ronda bergegas ke lokasi.

“Mayat ditemui memakai baju-T berwarna kuning bagaimanapun dalam keadaan hampir reput.

“Identiti mayat belum diketahui dan dibawa ke jeti pangkalan lama PPM Kota Kinabalu sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri meminta penduduk setempat yang ada kehilangan anggota keluarga tampil membuat laporan atau membantu mengenal pasti mayat berkenaan.

“Sekiranya ada penduduk yang hilang ahli keluarga, diminta tampil ke balai polis untuk membuat laporan atau membuat pengecaman mayat terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 9:37 AM