LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


SELEPAS lebih 48 jam kemalangan maut mengorbankan tiga mangsa di Kilometer 43 Jalan Temerloh-Bahau, dekat Pekan Mengkuang, Bera, identiti ketiga-tiga mangsa masih belum dikenal pasti dan hingga kini tiada waris yang tampil menuntut mayat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan serta melalui maklumat cap jari diperoleh mendapati tiga mangsa berkenaan terdiri daripada lelaki dewasa, wanita dewasa dan remaja lelaki.

Katanya, bagaimanapun bangsa semua mangsa yang rentung itu masih belum dapat diketahui.

“Hingga kini belum ada waris yang tampil melaporkan kehilangan ahli keluarga.

“Kita tidak dapat mengesahkan nama, umur dan identiti lain semua mangsa kerana tiada dokumen pengenalan diri yang ditemukan pada mereka disebabkan keadaan kenderaan yang hangus terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi kelmarin, tiga mangsa yang menaiki Proton Wira dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar lori jenis Mitsubishi dan terbakar.

Kejadian turut membabitkan sebuah lagi lori dan semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung selepas dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Sementara itu Kamarulzaman berkata, semakan ke atas nombor enjin kereta mendapati nombor pendaftaran kenderaan ialah BEG 7068.

“Siasatan polis mendapati, pemilik kereta terbabit beralamat di Selangor.

“Bagaimanapun kereta itu sudah dijual kepada beberapa orang tanpa menukar nama pada geran kenderaan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Waris tolong hubungi polis

Kereta terbakar, tiga rentung

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 8:56 AM