Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


HANYA kerana perselisihan faham berkaitan jahitan seluar pelanggan menyebabkan seorang lelaki warga Pakistan ditikam di perut dan tangan ditoreh rakan senegaranya di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Dalam kejadian 6.50 petang itu, kedua-dua mereka yang bekerja sebagai tukang jahit di Pertama Kompleks, bergaduh dengan menggunakan pisau dan gunting selepas tidak berpuas hati berkaitan jahitan seluar pelanggan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, siasatan mendapati punca bergaduh apabila mangsa meminta suspek memulangkan semula RM100.

Menurutnya, dia meminta wang itu selepas dimaklumkan pelanggan tidak puas hati dengan kerja jahitan seluar tidak berkualiti oleh suspek.

“Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami luka torehan pisau di lengan dan satu tikaman di perut menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Suspek tidak menerima rawatan dan usaha mengesannya daripada pemilik kedai masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 8:49 AM