MOHAMAD Asrul menggunakan sebelah tangan untuk membuat burger di gerainya di Taman Ria Jaya. -Foto NOR FARHANI CHE AD
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


KECEKAPANNYA membuat burger sama dengan pembuat burger yang lain meskipun hanya menggunakan sebelah tangan.

Peniaga, Mohamad Asrul Salleh, 40, kehilangan pergelangan tangan kirinya selepas anggota badannya itu terperosok ke dalam mesin melentur logam di kilang dia bekerja pada 2015.

Bagi sesetengah orang, kejadian seperti itu mungkin dianggap kisah malang, namun tidak bagi Mohamad Asrul atau mesra disapa Acik.

Katanya, kejadian itu berjaya merubah kehidupannya secara keseluruhan termasuk dari segi cara bekerja yang kini lebih gigih dan berusaha serta pemikiran lebih positif.

“Saya akui bukan mudah untuk menerima hakikat yang sebelum ini hidup sebagai insan yang normal kepada orang kurang upaya (OKU).

“Apatah lagi kejadian itu membuatkan saya hilang pekerjaan kerana keadaan fizikal yang tidak sempurna dan tidak mampu bekerja seperti pekerja normal lain.

“Namun, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Selepas kejadian itu, saya terus bangkit meneruskan kehidupan dengan memulakan perniagaan menjual burger,” katanya ketika ditemui di gerainya di Taman Ria Jaya.

Acik berkata, dia memulakan perniagaan itu bersama isterinya, Suhaila Saad, 39, di hadapan rumah mereka.

“Awal berniaga memang kami rasa perit kerana nak jual 10 bungkus burger dalam satu malam pun agak susah.


MOHAMAD Asrul menunjukkan burger yang dibuat olehnya dengan hanya menggunakan sebelah tangan.

“Bukan kerana saya kekok membuat burger tetapi lokasi perniagaan kami yang jauh dari kawasan laluan orang ramai,” katanya.

Bagi meningkatkan hasil jualan, dia mula menggunakan media sosial Facebook.

“Pada mulanya, usaha saya ini menerima komen negatif daripada beberapa netizen yang menganggap saya menggunakan media sosial untuk meraih simpati masyarakat.

“Saya tidak pedulikan setiap komen negatif kerana bagi saya media sosial satu medium untuk memasarkan produk,” katanya.

Dia bersyukur, sehingga kini burgernya kian dikenali dan mendapat permintaan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:05 AM