SITI Nurull Amira (kiri) dan Siti Aminah menerima kunjungan daripada Skuad Ziarah Perkeso Prihatin.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


MESKIPUN sibuk dengan tugas sebagai pelajar, Siti Nurull Amira Hassan, 17, tidak pernah putus asa dan melepaskan tanggungjawab terhadap ibunya, Siti Aminah Ibrahim, 53, yang menghidap penyakit spinno cerebella ataxia.

Penyakit genetik yang dihidapi ibu tunggal itu sejak 30 tahun lalu menyebabkan otak dan saraf mengecut, sekali gus sukar mengimbangi tubuh hingga mudah terjatuh selain pergerakan yang terbatas dan mudah diserang angin ahmar.

Keadaan itu menyebabkan ibu kepada tiga anak itu bergantung kepada ubat bagi mengimbangi kesihatan mental sekiranya gagal mengawal emosi.

Menurut Siti Nurull Amira, selain ibu, abangnya Muhammad Nur Ikhwaan, 20, turut menghidap penyakit sama.

“Alhamdullilah saya diberi kesihatan yang baik untuk menjaga ibu di rumah sewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai.

“Saya bangun seawal jam 4.30 pagi untuk masak, mandikan dan menyuap ibu makan serta memberikan tiga jenis ubat sebelum ke sekolah.

“Menu masakan untuk ibu ialah bubur nasi dan sup. Itulah juadah kami setiap hari,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Rahmat itu.

Siti Nurull Amira berkata, dia yang kehilangan bapa pada 2010 akibat paru-paru berair tidak boleh tidur lena kerana ibunya kerap menghadapi kesukaran untuk tidur.

Katanya, dia juga menukar lampin pakai buang ibunya lima kali sehari selain memindahkan ibunya dari katil ke kerusi roda mengikut keselesaan ibunya.

“Percakapan ibu memang sukar difahami kerana ia tidak jelas malah dia juga tidak mampu menggerakkan tangan mahupun kakinya.

“Ibu pernah menjalani pembedahan di bahagian otak selepas diserang angin ahmar pada 2016 kerana pendarahan beku manakala tahun lalu dia dimasukkan ke hospital kerana patah kaki selepas terjatuh di tandas.

“Sekiranya mahu ke hospital atau klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, saya menemani ibu hingga kadang-kala terpaksa ponteng sekolah namun saya bersyukur kerana guru faham keadaan saya dan sentiasa memberikan sokongan moral,” katanya ketika menerima kunjungan Skuad Ziarah Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Prihatin.

Siti Nurull Amira berkata, walaupun abangnya menghidap penyakit sama, dia masih boleh bekerja sebagai pekerja am di Hospital Permai.

Manakala adik lelakinya berusia 14 tahun tinggal di sebuah rumah anak yatim di bandar raya ini dan hanya pulang ke rumah ketika cuti sekolah.

Menurutnya, buat masa ini dia dan ibunya bergantung sepenuhnya pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan RM300 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Bagaimanapun keluarganya tidak mendapat bantuan barangan menerusi e-Kasih sejak awal tahun ini.

“Abang berpendapatan rendah dan dia membantu sekadar mampu,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Muhammad Nur Ikhwaan Hassan 0111841000077664.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:00 AM