MOHD Nor (kanan) melaungkan azan membantu mencari Mat Zin yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu di Kampung Bandar, Mukim Siong, Baling. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


BEKAS Imam Dua Masjid Ittafaqiah Al Yaacobiah, Kampung Charok Puteh, Mukim Siong, Baling melaungkan azan sebagai usaha untuk mencari seorang warga emas, Mat Zin Taib yang hilang sejak 8 Ogos lalu.

Mohd Nor Manas, 65, berkata, tindakannya itu sebahagian daripada usaha untuk mencari Mat Zin, 83, yang sehingga kini gagal ditemui.

“Setiap perkara berlaku adalah dalam pengetahuan Allah SWT dan sebagai manusia, kita perlu berusaha dan bertawakal kepada-Nya.

“Saya bukan bomoh, tapi cuma tolong bantu keluarga ini dan apa saja yang berlaku kita kena mohon bantuan Allah SWT selain berusaha sedaya mampu,” katanya.

Sementara itu, anak kepada Mat Zin tidak menolak kehilangan bapanya berkemungkinan dipengaruhi unsur mistik.

Shaharin Mat Zin, 56, berkata, lokasi kehilangan bapanya itu sukar diagak memandangkan kasut sarung getah yang selalu dipakai bapanya itu tidak digunakan pada hari kejadian.

Menurutnya, bapanya tidak akan merayau atau pergi ke mana pun tanpa memakai kasut itu melainkan jika keluar di kawasan sekitar rumah.

“Sebelum ini saya ada mimpi bertemu orang bunian dan saya percaya kehilangan ayah ada kaitan dengan mimpi ini.

“Dalam mimpi itu, saya lihat sekumpulan kanak-kanak bermain di kawasan semak di belakang rumah ayah. Bila saya tanya datang dari mana? Kanak-kanak itu jawab dari kampung mereka di situ.

“Kanak-kanak itu berita ketua kampung mereka adalah seorang perempuan. Tapi itu hanya mimpi sajalah,” katanya.

Shaharin berkata, ayahnya berkemungkinan melakukan perkara tidak disukai ‘penduduk kampung sebelah’ menyebabkan dia disembunyikan.

Katanya, selain berusaha mencari di merata tempat, ramai pengamal perubatan tradisional turut menawarkan bantuan mencari ayahnya.

“Ramai bomoh datang termasuk dari Perak beritahu ayah hilang di kawasan belakang rumah, tetapi usaha mencari menemui jalan buntu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 1:06 AM